No thanks!!!

Sedang aku hendak balik dari penat bekerja, aku dihubungi kawan lama. Katanya nak berjumpa sekejap dan meminta sedikit pertolongan. Sedikit pun aku tak kisah dan terus melupakan penat yang dirasakan dan pergi berjumpa dengannya. Mungkin permintaannya itu penting yang memerlukan aku untuk menolongnya. Manalah tahu sekiranya satu hari nanti aku pula yang memerlukan pertolongannya...

Kami berjumpa di stesen LRT Ampang di mana dia bekerja. Kami berdua pergilah ke kedai makan yang berhampiran untuk mendengar apakah pertolongan yang dia perlukan daripada aku. Masalahnya cukup senang, bukan mahu meminjam wang, bukan juga meminta nasihat percintaan. Cuma meminta pertolongan daripada aku untuk menjadi penjamin untuk pinjaman wang hendak dibuatnya. Aku senyum... Sedikit pun tidak terasa di hati untuk menolak permintaannya itu. Wang yang hendak dipinjamnya itu hendak digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Pertolongan yang bagi aku tidak sukar untuk ditolongi...

Tetapi sebelum bersetuju, aku memberitahu kepadanya bahawa aku bersedia untuk menjadi penjamin (dengan beberapa syarat yang aku kenakan...) dan dengan jelas dan terang aku memberitahu, bukan dia orang pertama yang hendak menjadikan aku penjamin. Malah sebelum ini, aku juga menjadi penjamin bagi rakan setugas di pejabat. Samada pinjaman wang diluluskan atau tidak disebabkan hal itu, aku tidak dapat memberikan jawapan...

Dia kemudiannya memberitahu bahawa tidak menjadi masalah bagi hal itu kerana katanya dia mempunyai teman yang boleh membereskan hal² sedemikian. Dan dia hendak membawa aku berjumpa dengan temannya itu pada waktu itu juga. Dia sudah awal² mengajak temannya itu untuk datang berbincang akan pinjaman yang hendak dibuat. Waktu ini, kening aku sudah aku angkat sebelah...

Tiba waktunya teman kepada kawan aku ini sampai dan membawa kami ke satu tempat di tengah² bandar Kuala Lumpur. Aku hanya menuruti dan apabila sampai sahaja ke tempat yang hendak mereka tujui (yang aku fikirkan sebuah bank), aku pelik dengan keadaan tempat yang begitu ramai orang datang bertandang. Aku  telah dibawa ke sebuah pejabat jualan langsung yang agak baru bagi aku. Aku kemudiannya tersenyum simpul dan kemudian menyumpah seranah di dalam hati keadaan yang sedang berlaku! Rupa², kawan aku ni hendak membuat pinjaman bank semata² untuk mengikuti syarikat jualan langsung itu. Aku sedikit tersinggung dengan ketidakjujuran kawan aku ni.

Dengan sedikit ketidakrelaan hati, namun masih dengan senyuman di bibir (kerana aku tak mahu kawan aku berkecil hati!)... Aku mendengar "upline" kawan aku ni berceloteh pasal hal marketing plan, produk dan segala hal itu dan ini... Mengajak aku untuk "membuka" sedikit fikiran dan mata untuk melihat dunia yang serba moden dan serba meterialistik ini. Semuanya memerlukan wang, wang dan wang... Cara mudah untuk mendapat wang.

Dalam hati aku hanya mengeluh panjang. Kenapa aku selalu terjerat dengan hal² seperti ini. Kenapalah aku selalu dibelenggu dengan hal² untuk menjadi kaya dan senang lenang yang bagi aku entah bilanya akan kekal lama...

Pandangan aku pada dunia meterial amat berlainan dari mata orang lain. Suka berkejar sana sini untuk menjadi kaya cepat (dan kayap cepat). Bukan aku katakan wang itu tidak penting untuk survival hidup. Bukannya aku tidak mahu duduk senang lenang dengan apa yang dikehendaki senang untuk didapati. Bukannya aku tidak cemburu dengan mereka yang dapat mengecap kemewahan dengan cepat... Semuanya aku rasa. Semuanya aku ingin. Tapi aku ada keinginan lain. Keinginan aku untuk memuaskan apa yang aku hendak di dalam hati dengan cara aku sendiri. Bukan sebegini!

Aku tahu, untuk mendapatkan wang, bukan sesuatu yang mudah. Tapi aku hendak merasai proses kesusahan untuk mendapatkan wang...

Aku tahu bukan senang untuk menikmati kemewahan. Tapi aku hendak merasai nikmat kepayahan bersusah...

Aku sedikit pun tidak kisah dengan kemewahan orang lain kerana bagi aku kemewahan bukan tahap untuk mengukur kepuashatian...

Untuk kawan aku itu, aku tahu dia mungkin berkecil hati kerana selepas habis penerangan itu, aku menolak permintaannya. Bukan kerana aku tidak minat, bukan aku tidak mahu kelihatan berjaya dan bukan kerana aku tidak membuka fikiran, tetapi aku ada perancangan aku sendiri. Aku tak mahu mengejar kemewahan, aku hanya mahu berpuas hati dalam erti kata aku sendiri walaupun dengan bersusah payah!

Hmmmm... No thanks! Ini bukan yang aku cari.


0 comments: